Tak terjangkau akal mu...

"Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?, dan Kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu, yang memberatkan punggungmu? Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama). Kerna sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain, dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap."
(Al-Insyirah: 1 - 8)

Selasa, 23 Jun 2009

DEBAR PEPERIKSAAN

Pelajar: saya seorang pelajar tingkatan 3 dan akan menduduki ujian Penilaian Menengah Rendah (PMR). PMR makin hampir, dan saya semakin tertekan kerana saya rasa belum cukup bersedia. Tambahan pula saya perlu menolong ibu saya di kedai setelah pulang dari sekolah menyebabkan masa untuk saya mengulang kaji pelajaran terhad. Kawan-kawan saya sibuk dengan kelas tambahannya sekarang, sedangkan saya harus menolong ibu di kedai. Saya juga mahu berjaya dan mendapat keputusan yang baik. Apakah yang patut saya lakukan? Wajarkah saya memberitahu masalah saya ini pada ibu saya? Saya bimbang akan mengecilkan hatinya.

************************************



لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلاَ تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلاَ تُحَمِّلْنَا مَا لاَ طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَآ أَنتَ مَوْلاَنَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Peperiksaan adalah perkara yang selalu menjadi tekanan bagi setiap pelajar. Para pelajar sanggup melakukan apa sahaja bagi menyiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan yang bakal diduduki.


Bagi pelajar di atas atau sesiapa yang menghadapai masalah yang hampir sama seperti di atas, ada beberapa langkah yang boleh diambil bagi membantu menyelesaikan masalah ini:


  1. BERBINCANG BERSAMA IBU – sewajarnya adik berbincang dengan ibu adik tentang masalah yang adik hadapi ini dan seharusnya ibu adik mengerti perasaan dan tekanan yang adik hadapi. Perbincangan dari hati ke hati amat perlu bagi menyelesaikan masalah ini.

  2. BERBINCANG BERSAMA KAUNSELOR/GURU – kaunselor dan guru-guru sentiasa cuba mendengar dan membantu menyelesaikan masalah para pelajarnya terutama sekali yang melibatkan pelajaran. Dengan ini kaunselor/guru mungkin boleh membantu dengan mengadakan kelas tambahan untuk adik atau berbincang dengan ibu adik. adik boleh memilih untuk berbincang dengan guru yang paling adik rapat dan boleh adik luahkan masalah adik padanya.

  3. DOA, TENANGKAN DIRI DAN IKHLASKAN HATI – membantu ibu dalam melakukan apa jua kerja selagi tidak menyalahi hukum Islam adalah satu ibadah. Jadi lakukanlah dengan ikhlas. Memang susah untuk mengikhlaskan diri, lagi-lagi dalam keadaan tertekan seperti ini, syaitan pasti sentiasa menghasut kita untuk melawan dan memberontak terhadap ibu kita. Jadi tenangkanlah diri adik dengan khusuk dalam solat, berdoa untuk ketenangan, keikhlasan dan dipermudahkan segala urusan. Luahkanlah segala masalah kepada Allah. Tidak perlu duduk di atas tikar sejadah untuk berdoa dan meluahkan perasaan pada Allah. Di mana jua, bila-bila masa, dengan apa cara sekalipun, Allah pasti mendengarnya. Mintalah ibu adik untuk doakan kejayaan adik, kerna doa ibu dengan redha adalah lebih makbul. Insya’Allah...Allah Maha Pengasih dan Maha Mendengar.

  4. CUBA USAHA YANG TERBAIK DAN JANGAN MENGALAH - Persediaan untuk menghadapi peperiksaan seharusnya dilakukan dari awal, iaitu dari mula-mula adik menjejakkan kaki ke alam sekolah menengah. Walaubagaimana pun,jangan sesekali patah semangat sebelum selesai berjuang. Tingkatkan usaha selagi terdaya. Kalau sekarang ni masa adik terhad, gunakan masa yang sedikit itu dengan sebaik-baiknya. Yang penting work smart! Semasa tunggu di kedai pun adik masih boleh mengulangkaji pelajaran. Bila tiada pelanggan, buka buku dan ulangkaji. Buat soalan-soalan PMR yang lepas, banyak bertanya kawan-kawan dan guru. Insya’Allah...masih sempat.

Allah hanya menguji hambanya mengikut kemampuan hambanya itu. Dia tahu apa yang terbaik buat hambanya. Allah tahu adik mampu mengharunginya. Ingatlah dan yakinlah pada janji-janji Allah. Insya’Allah...

"Ya ALLAH, terangilah pandanganku dengan Al-Quran dan dengannya lapangkanlah hatiku dapatlah kiranya daku beramal denganya. Dan lancarkanlah lidahku dalam mengucapkannya dan teguhkanlah hatiku dengannya. Dan percepatkanlah kefahamanku dengannya, teguhkanlah tujuanku dengannya dengan sebab dayaMu dan kekuatanMu. Sesungguhnya tiada daya untukku melakukan taat dan tiada daya untukku menjauhkan maksiat melainkan dengan pertolonganMu. Ya ALLAH Tuhan Yang Maha Pengasih bagi sekalian yang berkasih sayang. Ya ALLAH aku menumpangkan kepadaMu ilmu yang telah Engkau ajarkan kepadaku, maka perkenankanlah kiranya Engkau mengembalikannya lagi kepadaku ketika aku memerlukannya. Dan janganlah hendaknya Engkau melupakannya, ya Tuhan semesta alam. Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmu dan luaskanlah kefahamanku. Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkan urusanku. Ya ALLAH, keluarkanlah aku daripada kegelapan yang ragu dan muliakan aku dengan cahaya pengertian, bukalah lagi aku makrifat ilmu, berilah cahaya kepada hatiku sebagaimana Engkau memberi cahaya kepada matahari dan bulan dan mudahkanlah bagiku pintu-pintu rahmatMu wahai Tuhan Yang Maha Pengasih daripada segala yang pengasih. Wahai Tuhan Yang Maha Hidup dan Maha Kekal, wahai Pencipta keindahan langit dan bumi, wahai Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kurnia, tiada Tuhan selain Engkau,dengan rahmat kurniaMu aku memohon pertolongan. Perbaikilah untukku semua urusanku. Dan jangan Engkau membiarkan aku walaupun untuk sekelip mata. Perkenankanlah doaku. Amiin."

Ahad, 14 Jun 2009

Salam Pembukaan

Salam Perkenalan buat semua.

Alhamdulillah.... Hasrat saya untuk mewujudkan blog ini terlaksana walaupun hakikatnya ianya berada di dunia maya. Tujuan blog ini diwujudkan adalah untuk memberi ruang kepada sesiapa sahaja yang ingin meluahkan dan mendengar masalah, meminta dan memberi pandangan, menerima dan berkongsi pengalaman dalam apa jua perkara yang saya fikirkan sesuai.

Kepada sesiapa yang mempunyai cadangan topik, atau sebarang pautan berkaitan yang ingin dikongsi bersama, bolehlah tinggalkan komen/ulasan atau terus e-mail saya: salam_hanim@yahoo.com.

Semoga usaha ini kan berterusan dan dirahmati. Insya'Allah.